PERBEZAAN WILADAH DAN NIFAS
Mandi Wiladah dan nifas
Seorang
perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan
tertentu iaitu mandi kerana beranak (wiladah) dan mandi kerana nifas.
Para
ulama telah ijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar
darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah
wiladah iaitu mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah
(darah). Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak
terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya
berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging
(mudhghah).
Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani
pembedahan perut untuk mengeluarkan anak, maka dikategorikan hal yang
sedemikian itu sebagai wiladah maka wajib ke atas perempuan tersebut
melakukan mandi.
Perlu diingat, mandi kerana beranak dan mandi
kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak kekeliruan, maka darah
nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan
anak sekalipun hanya setitik. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum
berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak.
Andaikata darah itu tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama
lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan
sebagai nifas tetapi ia merupakan darah haidh. Maka dalam hal ini
perempuan tersebut diwajibkan mandi kerana nifas.
Manakala mandi
kerana wiladah ialah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau
mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah)
atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi
perempuan itu mandi kerana beranak (wiladah) setelah berlakunya
kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.
Maka apabila
seorang perempuan telah melahirkan anak, dia wajib mandi kerana beranak
(wiladah) dan wajib juga ke atasnya mandi nifas setelah berhenti
darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu empat puluh hari
empat puluh malam atau masa paling maksima selama enam puloh hari enam
puloh malam.
Sayugia diperingatkan bahawa adalah wajib bagi
seorang perempuan itu mengetahui hukum-hukum berkaitan dengan mandi
wiladah dan mandi kerana nifas, dan wajarlah bagi suami yang
mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri
masing-masing
Q&A TENTANG WILADAH DAN NIFAS
Kenapa ada istilah mandi wiladah?
Sedangkan nifas keluar, maka nanti bila nifas kering boleh mandi hadas sekali sahaja?
Jawapan:
Bukan semua wanita apabila melahirkan anak akan keluar nifas. Ada yang keluar nifas, setelah 2 atau 3 hari selepas
melahirkan anak. Maka apabila, seseorang wanita, merasai tidak ada sebarang darah yang keluar mengiringi
bayi yang dilahirkan, dia mesti bangun dan mandi wajib untuk mengerjakan solat. Walaupun masih lemah, maka
dia boleh mengerjakan solat secara duduk sahaja, mengikut keupayaan diri ketika itu. Ini termasuk wanita
yang melahirkan anak secara pembedahan caecerian. sekiranya selepas 2, 3 hari nifas keluar maka berhenti lah
dia solat, sehingga nifasnya kering semula untuk mandi wajib sekali lagi.
SOALAN:
saya ingin lanjutkan lagi pertanyaan saya (maaf
kerana lambat untuk saya faham). maknanya setelah selesai saja proses
ibu melahirkan, dia perlu mandi kerana wiladah dulu? kemudian apabila
darah nifas berhenti (dalam tempoh tertentu) si ibu perlu mandi kerana
nifas pula ye?
saya ada bertanya akan hal ini pada seorang sahabat
yang masih dalam keadaan nifas tentang mandi wiladah. katanya, sehingga
lahirnya anak yang ke-5 dia tidak pernah mandi wiladah pun tetapi cuma
mandi kerana nifas sahaja apabila darah berhenti. boleh terangkan
situasi ini? saya sedikit keliru. maaf masih jahil lagi. saya gusar
sebab saya menunggu hari untuk bersalin tetapi pengetahuan tentang mandi
kerana wiladah & nifas masih lemah. mohon bantuan. syukran
JAWAPAN:
Mandi kerana wiladah dan nifas adalah dua perkara yang berbeza.
1) Mandi wiladah ialah mandi selepas melahirkan anak samaada keluar darah atau pun tidak.
2)
Mandi nifas adalah mandi wajib setelah darah nifas kering (habis)
tempohnya paling sedikit ialah satu lahzah (setitik) dan paling maksima
ialah 60 hari.
Kedua-duanya adalah antara sebab-sebab yang mewajibkan seseorang itu mandi wajib iaitu mengangkat hadas besar.
Hukum bagi seseorang wanita itu tidak mandi wiladah adalah berdosa sekiranya ia mengetahui dan tidak berdosa jika sebaliknya.
Niat mandi wiladah : " Sahaja aku mandi wajib wiladah kerana Allah Taala".
SOALAN:
Saya ada beberapa pertanyaan yang memerlukan penjelasan.
1-
Boleh tak ustaz jelaskan dengan terperinci perbezaan di antara darah
wiladah dan darah nifas. Bagaimana pula jika seseorang itu melahirkan
anak, dan semasa proses melahirkan anak, tidak ada darah yang keluar, 20
minit kemudian baru darah keluar. Adakah itu nifas atau wiladah.
2-Apakah
hukum terhadap wanita hamil yang menanti saat kelahiran, keluar tanda
lendir bercampur sedikit darah, ketika itu dia puasa, adakah batal
puasanya? Adakah dia perlu solat? Sedangkan dia belum melahirkan anak
lagi. Sekian, terima kasih.
Jawapan;
Darah
yang keluar dari kemaluan wanita selepas melahirkan anak adalah darah
nifas. Perkara ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Oleh itu,
merujuk kepada soalan di atas; darah yang keluar setelah 20 minit
kelahiran, tidak syak lagi darah itu adalah darah nifas.
Adapun darah yang keluar bersama dengan bayi (yakni semasa proses melahirkan anak), statusnya menjadi khilaf ulamak;
1.
Menurut mazhab Syafi’ie; ia bukan darah nifas, akan tetapi darah
penyakit. Mazhab Syafi’ie meletakkan syarat bagi darah nifas; hendaklah
darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi
telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi
yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar
walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah
nifas.
2. Adapun bagi mazhab yang lain (Maliki dan Hanbali); ia telah
dikira sebagai darah nifas, yakni bagi mereka apabila berlaku proses
kelahiran, maka darah yang keluar telah dikira darah nifas sekalipun
bayi belum sempurna keluar.
Mengenai darah yang keluar ketika saat-saat menanti kelahiran, ini juga menjadi khilaf di kalangan ulamak;
1.
Menurut mazhab Syafi’ie; ia belum dikira sebagai darah nifas, akan
tetapi dikira darah istihadhah (penyakit).[1] Oleh itu, wanita yang
mengalaminya, puasanya masih sah (tidak batal) dan kewajipan solat juga
tidak gugur darinya dengan dilakukan mengikut kemampuannya.
2.
Menurut mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari
sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit adalah dikira
darah nifas (yakni statusnya sama seperti darah yang keluar selepas
bersalin). Maka mengikut mazhab Imam Ahmad ini; wanita yang terbabit
batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya kerana wanita yang
didatangi nifas tidak sah puasa dan solatnya.
3. Menurut mazhab Imam
Malik; darah yang keluar sebelum bersalin, ia bukan darah nifas tetapi
darah haid. Berdasarkan pandangan mazhab Imam Malik ini, wanita yang
terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya bukan kerana
nifas tetapi kerana haid.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Isami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/125.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 78.
Nota Kaki;
[1]
Atau boleh juga dianggap darah haid jika ada tanda-tandanya. Menurut
mazhab Syafi’ie dan Malik; wanita mengandung ada kemungkinan didatangi
haid. Namun jumhur ulamak berpendapat; wanita mengandung tidak akan
kedatangan haid dan darah yang keluar darinya secara mutlaknya adalah
darah penyakit.
**SUMBER DARI HALAQAH.NET
Tiada ulasan:
Catat Ulasan